Redha Ketentuan Ilahi1
9.8.2005, aku seolah2 berada dalam satu dunia lain. Bermula dengan rasa sebu di hulu hati dan susah hendak buang air besar sejak seminggu lepas. Perut memulas-mulas bagai belati yang menghiris tali2 perut sepanjang malam. Setiap apa yang dimasukkan kedalam mulut semuanya dimuntahkan kembali. Perit yang tidak terhingga. Aku tidak pernah merasakan sakit perut sebegini rupa sepanjang hidup. Berguling-guling atas katil, atas lantai tetap tidak meredakan keadaan. Sebelum itu aku aku ada mendapatkan ubat yang berharga RM11 sebiji dari Dr Noraini di Klinik Keluarga Greenwood. Selepas makan satu dari dua biji yg Dr. Noraini berikan itulah pada malamnya aku diserang. Akhirnya setelah tidak tahan dengan keperitan yang menghiris itu kira2 pukul 9.00 pagi aku meminta Biha tolong minta Abg Zakaria jiran sebelah rumah menghantar aku ke Ampang Puteri. Setibanya aku di AP aku terus ke kaunter pendaftaran selepas mengucapkan terimakasih kepada Abg Z. Abg Z tidak mahu meninggalkan aku. Katanya biarlah dia tunggu dahulu sehingga pasti aku dimasukkan ke wad. Melihat sahaja muka dan keadaan aku yang lemah longlai itu, misi yang berumur lebih kurang 40 tahun terus membawa aku ke wad kecemasan. Aku dibaringkan di atas katil. Diberikan suntikan di punggungku dan air dimasukkan melalui tiub di tangan kiriku. Aku begitu lemah sekali tapi sempat bergurau dengan Abg Z, apabila misi memasukkan satu alat berupa lampu suluh telinga sedangkan perut aku yang sakit. Kata misi itu adalah alat untuk mengukur suhu badan, demam atau tidak. Alat itulah juga yang sentiasa digunakan sepanjang empat hari tiga malam aku di Ampang Puteri. Selang beberapa minit seorang lelaki memanggil namaku meminta kad insuran. Abg Z juga telah membantu aku mengisikan borang pendaftaran. Banyak sungguh pertolongan Abg Z. Aku terhutang budi dengannya. Lebih kurang lima belas minit kemudian, seorang doktor perempuan datang memeriksaku. Katanya perutku 'noisy'. Sememangnya aku sudah 2 hari tidak makan. Perut berbunyi melagukan keroncong yang sungguh sumbang. Kemudian aku diminta duduk di kerusi roda dan aku dihantarkan ke wad MGW 7 tingkat 5 katil dihujung sekali berdekatan dengan tingkap. Bermulalah hari pertama hidup sebagai pesakit di Hospital Ampang Puteri yang sebelum ini sepanjang ingatanku aku hanya datang melawat Shikin bersalin dan menghantar Luqman memeriksa matanya. Diketika aku dimasukkan ke wad, suasana Kuala Lumpur diselubungi jerebu yang sangat tebal. Dari tingkat 5 itu aku hanya dapat melihat dalam jarak 1/2 kilometer sahaja. Risaunya aku akan anak2 dan isteri di rumah..........

