Monday, April 21, 2008

Istimewanya Emak

Emak dan semua emak-emak yang ada di dunia ini pasti punya memorinya sendiri. Setiap detik dan ketika, siksa dan bahagia dalam memanggang rasa, membesarkan kita tidak terkira perit dan lelahnya. Bukan mudah untuk berbicara dan mengatur huruf untuk menukilkan tentang pengorbanan dan suararasa seorang emak. Allah tidak akan menerima walau sebanyak mana amal ibadat dan setinggi mana pun darjat kita, jika emak kita biarkan memendam rasa keseorangan.
Dalam banyak perkara, kita boleh bertoleransi, bertimbangrasa, harga menghargai, dan faham- memahami. Namun apabila emak mahukan kita di sisinya, dimanakah kita? Apakah kita masih lagi berilusi tentang mimpi indah hal duniawi? Atau terpenjara oleh nafsu serakah yang membawa kita hanyut ke lautan emosi berapi yang tidak bertepi?
Aku dididik oleh Abah, emak sendiri perlu ditaati sehingga ia pergi dijemput Ilahi. Emak dan bapa mertua pula wajib dikasihi dan dipenuhi segala apa yang mereka hajati. Menghiburkan hati dan sanubari mereka adalah bahagia yang tidak terucapkan dengan kata-kata. Bahagia mereka bahagialah kita di dunia dan akhirat sana.
Aku sudah tidak punya emak mertua...yang ada hanyalah emak kandung dan bapa mertua. Abah telah pergi....dan abah pergi di atas ribaanku.
Emak mertua juga telah pergi...perginya tanpa aku di sisi. Namun sewaktu emak Muti'ah terlantar sakit, berbagai usaha aku dan ipar duai yang lain mengubati sakitnya. Namun Allah lebih menyayanginya....
Dan kini emak kandungku pula uzur...
Aku tidak mahu jadi anak derhaka....
Aku tidak mahu jadi sitanggang...
Aku tidak mahu jadi seperti ALQamah yang nazak tidak mampu mengucap....

Sunday, April 20, 2008

Redha

Jika inilah sahaja kebaktian yang dapat dikira
jika inilah cuma bahagia untuk mereka berdua
jika hanya inilah menjadi rahsiaMu
jika ini jualah yang mendapat tempat redhaMu
jika cuma ini yang termampu aku lakukan
yang ada nilai barakhah di sisiMu
yang ada kuntum mewangi untuk mereka berdua
yang lahir tanpa rencana
yang terukir tanpa bicara
yang tertulis tanpa pena
Dan yang menilai hanyaMu jua...

Maka atas nafas lelahku ini....
maka atas rasa insaf dan redhaku yang faqir....
terimalah ia sebagai ganti
terimalah ia sebagai penyeri
terimalah ia sebagai kuntum wangian kasturi
agar dapat kutelusuri
agar dapat kuberteduh
dibawah rimbunan REDHAMU....

Terimalah aku kembali di sisiMu....

Emak Sakit

18.4.08 Lebih kurang jam 10.00pm, abang Sani datang untuk menemaninya ke Tikam Batu, Sg. Petani, Kedah. Tujuannya adalah kerana menghantar emak yang tidak berapa sihat, berehat di rumah adik. Emak yang kurang sihat sudah lama memendam rasa. Keheningan naluri deria baunya pantas mencetuskan resah dan gelisah.Kesengsaraan emak menanggung runtunan kesabaran kerenah jiran tetangga, membuatkan emak kekadang terpaksa mengalah.
Bau hamis dan hancing dari najis kucing jiran di depan pintu rumah serta tempat beliau mengaji di rumah yang berhampiran juga pantas membuat emak lelah dan tidak berdaya. Akhirnya emak sudah tidak lalu makan. Batuk dan penat mengganggu tidurnya. Kak Long sms, "Emak kelihatan berat sangat sakinya. Pulanglah...." Ah...ada sebak yang menghurung dadaku. Pantas malam itu juga aku di birai katil emak...
Selang dua hari kemudian emak memeranjatkan kami. Beliau mahu ikut adik balik ke Sg. Petani. Mahu berubah angin kata Kak Long. Itu pun setelah beberapa orang rakan emak datang menziarahinya selepas kelas mengaji. Sungguh, emak nekad malam itu juga mahu ke Kedah selepas berunding dengan abg Sani.
Alhamdulillah, kami sampai jam 2 pagi. Selepas subuh aku lihat emak keluar sambil berjalan-jalan menghirup udara segar dari bendang yang terbentang luas saujana mata memandang. Ada senyum ceria pada wajah emak... Aku turut mengambil kesempatan yang telah sekian lama tidak menghirup udara dingin subuh di sini. Pagi itu juga aku lihat emak menjamah sedikit makanan. Alhamdulillah...
Dengan iswara aeroback merah adik ipar, aku menuju ke rumah bapa mertua di Sg. Layar. Pak dan Mak Cik sedang menunggu aku rupa-rupanya. Pak memberitahu dia jatuh pitam pada 5.4.08 selepas solat asar. Pak juga uzur sangat nampaknya. Matanya sudah tidak berapa nampak lagi untuk membaca akhbar walaupun menggunakan cermin mata. Aku pujuk pak jalan-jalan ke rumah Kak Pah di Tmn Ria. Pak pada mulanya menolak. Tak larat katanya. Setelah mak cik memujuk dan aku berjanji untuk membawanya membuat cermin mata baru, barulah Pak bersetuju. Berbaju Melayu putih pak kulihat agak kurus. Singgah di kedai untuk beli teh ais pesan pak. Sampai di rumah Kak Pah, aku memberitahu mahu membawa Kak Pah, Mak Cik dan Pak ke rumah Siti di Tikam Batu. Tetapi sebelum itu aku mahu singgah kedai cermin mata untuk buat cermin mata baru Pak. Kak Pah bersetuju dan kami pun menuju ke kedai cermin mata Optical di hadapan Klinik Kak Pah.
Setelah beberapa ketika di analisis, akhirnya taukeh itu menasihatkan supaya Pak tidak buat cermin mata. Ini adalah kerana Pak tak sihat. Kemungkinan kesan dari pitam yang beliau alami memberikan kesan sampingan pada penglihatannya. Biar pulih betul-betul baru datang balik untuk uji mata, kata taukeh cermin mata itu.
Kak Pah bersetuju untuk datang dilain kali. Kak Pah juga sempat membisikkan kepadaku, Pak nampak cergas sikit hari ini. Mungkin sebab aku bawa dia jalan-jalan. Kemudian kami ke klinik Desa Sg. Layar untuk mengmbil 'seteskop' Kak Pah sebelum ke Tikam Batu. Sampai di rumah Siti, makanan tengahari sudah siap terhidang. Ikan kembung masak asam, sambal belcan mangga, puhhhh... Abang Zainol kecur air liur...Semuanya kulihat begitu berselera sekali. Kecuali Mak. Berkali-kali Kak Pah dan Mak Cik mengajak emak makan. Tekak tak mahu kata emak. Selepas menjamu selera dengan penuh berselera, Kak Pah pun mula memeriksa emak.... aku, Pak, Mak Cik, Abg Zainol. Faiz dan Izzati ke Mesjid Pulau Sepom untuk bersolat Zohor. Kerana air sudah masuk hari ke tiga tidak keluar di Sg. Petani. Pulang dari mesjid, Abg Zainol memberitahu mahu mengambil sedikit batang ubi kayu untuk di tanam di rumahnya. Fadzli segera membawa kami ke kebun berhampiran. Penuh guni tepung dengan ubi kayu dan batang ubi untuk Abg Zainol. Mak Cik, Mak, Kak Pah dan Siti bersembang sakan. Emak kulihat sudah kembali sedikit ceria dengan kehadiran tetamu istimewa yang kubawa tanpa dirancang itu. Pak berehat di beranda rumah sambil menghirup udara segar petang yang nyaman....
Begitulah kehendak Allah. Kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah juga adalah yang terbaik....cuma kekadang kita kurang bergantung dengan Allah...kita banyak melebihkan kepentingan diri sendiri. Tanpa memikirkan sejarah dahulu dan akibat dari perbuatan yang menghiris perasaan. Dan dari peristiwa yang aku alami ini, aku kini faham dan mengerti, kekadang dan ada ketikanya kita perlu menyendiri dan menyedari, tidak semua yang kita rasa bagus dan patut untuk menghiriskan perasaan orang lain, akan membuatkan kita bahagia. Ingatlah, kebahagiaan tidak terletak kepada bagaimana kita berperilaku, tetapi kebahagiaan adalah bagaimana kita merasa dihargai dan menghargai. Hari ini emak dan Pak yang uzur telah dapat aku segarkan walaupun sedikit tindakan tanpa perancanganku. Entah esok atau lusa, aku tidak pasti siapakah yang sudi melampiaskan rasa sedu dan senduku.....dan sesungguhnya aku redha, Allah mengambilku biarpun tanpa sesiapa di sisiku......kerana belum tentu sesiapa yang ada di sampingku bisa melenyapkan api dendam, dengki, hasutan dan pelbagai hinaan yang meraja di mata dan hati mereka lantas membelaiku dalam amarah dan ketidakpuashatian yang menggunung. Alhamdullilah aku sampai ke Puduraya dan selesai solat Zohor tepat jam 3 petang.


free hit counters